MAC 2023

Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma Tampung 3,000 Jemaah, Tawar Fasiliti Moden


KUCHING: Penduduk sekitar Taman Sukma di sini, mempunyai sebuah bangunan baharu Masjid Ikhwanul Islam apabila ia dirasmikan pada malam tadi.

Perasmian masjid yang berharga RM17 juta itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Masjid itu mampu menampung seramai 3,000 jemaah dengan menara berukuran 99 kaki, kubah menyerupai Kubah Masjid Nabawi, hiasan dalaman kontemporari dan fasiliti moden.

Menurut kenyataan media perasmian masjid itu, pembinaan bangunan baharu ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan dana Kerajaan Sarawak sebanyak RM8 juta sementara Kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 juta dan bakinya dari wakaf serta sumbangan orang ramai.

Projek pembinaan bangunan ini sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan selepas mula dibina pada 2019, tetapi tertangguh akibat penularan pandemik Covid-19.

Sejarah masjid ini bermula dengan Surau Taman Sukma pada 1991 yang mana pada ketika itu bangunan Pejabat Tapak Pembinaan SPPS diubahsuai menjadi surau sementara - yang hanya mampu menampung sekitar 30 jemaah.

Atas usaha keras ahli Jawatankuasa pada masa itu akhirnya pada 1996 batu asas bagi pembinaan bangunan Surau baharu yang mana disempurnakan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang pada ketika itu Menteri Perindustrian.

Pada 2006, Fadillah telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan bagi memperbesarkan masjid  dan hasilnya mengambil alih lot parking di belakang masjid dan menjadikan sebagai ruang solat tambahan dan menambah ruang solat  berhawa dingin di sebelah kanan.

Pada 2016, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembinaan bagi membina bangunan baharu masjid terbabit sehingga diluluskan.

Pada 4 Mac lalu, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma mula digunakan dengan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama Timbalan Perdana Menteri dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.

Selain solat lima waktu, solat Jumaat, ceramah dan aktiviti ibadah, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma menyediakan perkhidmatan seperti

perkhidmatan fardhu kifayah/rumah jenazah, perkhidmatan van jenazah, perkhidmatan melupus Al-Quran.

Perkhidmatan jurunikah, perkhidmatan keselamatan, perkhidmatan mengajar Al-Quran, rumah jenazah (dalam pembinaan) turut disediakan.

Sumber dari : Jiwa Bakti